Monday, December 15, 2008

Rakyat Rasa Ditipu Manifesto Pakatan Rakyat

Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini membuat laporan polis kerana mendakwa tertipu berikutan kegagalan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya pada 8 Mac lalu.

Mohd. Shaid Rosli, 25, dari Simpang Tiga, Ijok, berkata, pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus adalah bertentangan dengan konsep negara berkebajikan yang diuar-uarkan oleh PKR dan Pas dalam manifesto tersebut.

Beliau yang masih menganggur memberitahu, kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji setelah berjaya memerintah merupakan satu bentuk penipuan secara bertulis dan menjadi kesalahan jenayah.

"Janji-janji Menteri Besar Selangor yang ketika itu merupakan calon wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok semasa berkempen merupakan suatu tindakan memperdaya rakyat seperti saya supaya mengundi pakatan pembangkang .

"Saya rasa dipermain-mainkan dan ditipu bulat-bulat kerana apa yang dijanjikan tidak ditunai setelah rakyat beri kepercayaan kepada mereka untuk memerintah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 7 di sini hari ini.

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan untuk tidak menurunkan cukai taksiran berikutan keadaan ekonomi negeri ketika ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Beliau bimbang langkah menurunkan cukai taksiran akan menambah beban kerajaan negeri dan mengurangkan hasil.

Penurunan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus merupakan antara tawaran yang dibuat oleh PKR dan Pas dalam manifesto pilihan raya umum baru-baru ini bagi mengurangkan beban dan membantu ekonomi rakyat.

Tawaran-tawaran lain ialah cuti bersalin 90 hari, membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, bantuan RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan pra persekolahan dan memberi RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Menurut Mohd. Shaid, beliau membuat laporan polis kerana tidak mahu perkara yang sama berulang pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, parti-parti politik seharusnya bertanggungjawab dengan apa yang telah dijanjikan semasa berkempen dan bukan bertindak sesuka hati setelah memenangi pilihan raya.

Katanya, beliau juga bersedia untuk membawa perkara itu ke mahkamah jika ada pihak yang mahu membiayai kos guaman.

Komen:

Jangan ingat rakyat akan berdiam diri. Ini merupakan satu contoh mudah bagaimana tersinggungnya rakyat terhadap janji yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Ini baru seorang yang tampil membuat laporan mengenai keburukan kerajaan campuran.

Manusia memegang kepada janji jadi sekarang bila janji bertukar menjadi sebaliknya maka jelas dapat dilihat rakyat bagaimana lemahnya pentadbiran kerajaan campuran yang hanya sekadar mengambil kesempatan untuk membantu rakyat tetapi sebaliknya mereka langsung tidak berkehendak untuk menunaikannya. Ini dilihat sekadar wayang dan janji boneka semata-mata.

No comments: