Sunday, June 10, 2012

Babi Sebagai Makanan Ruji


Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia di mana sebuah kerajaan negeri dengan sengaja mempermain-mainkan sensitiviti masyarakat Islam. Bahkan ketika Sabah dipegang oleh PBS pada tahun 1990 dahulu pun, perkara sebegini tidak dilakukan.
Berbeza benar apabila DAP mendapat kuasa dan apabila mereka menjadikan PKR sebagai proksi di Selangor. Sensitiviti umat Islam diuji dan DAP cuba ‘memperkenalkan’ sesuatu yang selama ini menjadi taboo kepada umat Islam, kononnya untuk mengajar umat Islam di negara ini agar lebih berfikiran terbuka dan menerima kepelbagaian dengan mendidik mereka menerusi kebiasaan.
Itulah yang berlaku pada Julai 2011 apabila akhbar Selangor Times yang merupakan akhbar milik Kerajaan Negeri Selangor menyiarkan satu muka surat penuh promosi produk daging babi. Keluaran yang dimaksudkan adalah keluaran 1-3 Julai 2011. Ianya mengenai Restoran Tean Kitchen di SS2, Petaling Jaya yang menjual lapan jenis produk babi.

Apa yang mengejutkan ialah, Kerajaan Negeri Selangor seolah-olah tidak sensitif dengan mempromosikan makanan tersebut pada ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadat puasa.
Promosi yang sama turut dilakukan oleh sebuah akhbar arus perdana. Walaupun akhbar berkenaan menarik semula artikel tersebut dan meminta maaf, namun berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Pakatan dalam isu ini, sememangnya mereka tidak pernah berminat untuk melihat keharmonian kaum dan agama berlangsung secara aman sebaliknya, Pakatan cuba memastikan umat Islam menerima pemaksaan nilai-nilai yang selama ini dibentengi oleh Perlembagaan dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Pakatan seolah-olah cuba mendidik, produk babi bukanlah satu kesalahan. Umat Islam di negara ini perlu menerima babi sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Pakatan dan DAP mahu umat Islam di Selangor tidak marah, tidak jijik dan tidak bencikan babi.
Selama ini, umat Islam tidak pernah merungut atau mengutuk amalan atau budaya pemakanan bukan Islam di negara ini. Umat Islam boleh menerima kepelbagaian dan hakikat kemajmukan yang wujud di negara ini. Namun pada masa yang sama, umat Islam hanya meminta hak mereka selaku masyarakat majoriti yang hak mereka termaktub di dalam Perlembagaan.

Walaupun babi bukannya merupakan bahan larangan, tetapi ia sebenarnya boleh mencetuskan perasaan tidak senang, permusuhan dan akhirnya berlakulah pergeseran kaum serta kekacauan. Mengapa perlu mencari masalah, walhal perkara tersebut boleh dielakkan.
Negara ini tidak pernah melarang umat bukan Islam memakan, menjamah mahupun menternak babi. Terdapat pelbagai restoran yang menjual daging babi, bahkan pasar basah babi pun boleh ditemui di mana-mana, terutama sekali di kawasan bermajoriti bukan Melayu.
Mengapa Kerajaan Negeri Selangor yang kononnya lebih advance berbanding kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO boleh menjadikan perbezaan itu sebagai satu senjata mereka untuk mendapatkan sokongan kaum bukan Melayu? Mengapakah kerajaan Pakatan tidak pernah memikirkan sensitiviti umat Islam dan konsekuens yang bakal dihadapi oleh rakyat Selangor sendiri?

Apa yang seronoknya untuk membangkitkan kemarahan dan ketidakpuasan hati umat Islam? Apakah dengan melihat umat Islam bangkit memberontak, maka Pakatan akan mengesahkan kepada tuan besar mereka yang sedang menjajah dunia sekarang bahawa umat Islam sebenarnya terlebih sensitif, tidak bertamadun dan tidak mengikut peredaran zaman, sekaligus menjadikan umat Islam sebagai kelompok yang sangat jumud sehinggakan babi pun tidak boleh diterima sebagai budaya hidup?
Adakah itu yang cuba dibuktikan oleh Teresa Kok dan Elizabeth Wong?

No comments: