Walaupun negara India mengamalkan demokrasi tetapi dalam memilih siapa yang akan menjadi perdana menteri, mereka tidak mengamalkan demokrasi mutlak dalam menentukannya. Untuk menjadi perdana menteri dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seseorang perlu menjadi popular dan parti yang diketuainya perlu memengangi pilihanraya. Negara India merupakan sebuah negara yang demokrasi tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan sistem kasta dan perkauman. Walaupun sistem kasta dan perkauman perlahan-lahan ditinggalkan namun ia masih diamalkan oleh kebanyakan rakyat India dan termasuklah orang islam di negara tersebut, terutamanya yang tinggal di bahagian utara India. Walaupun mereka telah lama memeluk agama islam namun amalan kasta dan perkauman masih segar dalam jiwa mereka. Apabila golongan kaya mengadakan majlis perkahwinan, hanya yang kaya dijemput menghadirinya. Perkahwinan merupakan suatu yang ditentukan dengan siapa boleh berkahwin dan perkahwinan diluar daripada kasta mereka adalah tidak dibenarkan sama sekali. Dalam sistem demokrasi, semua lelaki adalah sama dari segi hak dan peluang dalam satu-satu perkara. Dalam sistem ini juga, apabila seseorang mempunyai kelayakan, tidak kira apa bangsa yang dimilikinya, dia mempunyai hak untuk menjadi ketua negara. Sekiranya Lim Kit Siang layak, dia bukan sahaja layak untuk menjadi timbalan perdana menteri bahkan dia layak untuk menjadi perdana menteri Malaysia. Ketua parti pembangkang sepatutnya adalah Lim Kit Siang dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana DAP memiliki kerusi paling banyak di parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu tetapi Lim Kit Siang sememangnya bijak membuat percaturan politik dengan menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lim Kit Siang menolak untuk dilantik menjadi ketua pembangkang dan memberikan jawatan itu kepada Anwar kerana Lim Kit Siang tahu bahawa Anwar lebih diterima oleh penyokong PAS sebagai ketua pembangkang jika dibandingkan dengan beliau. Lim Kit Siang memahami bahawa Anwar seorang melayu dan dia boleh bercakap mengenai islam dengan bagus sekali. Dengan keupayaan bercakap dan berhujah, Anwar cukup bijak untuk mempengaruhi kebanyakan orang yang dia adalah pemimpin islam yang hebat.
Mengikut sistem demokrasi yang sebenarnya, Lim Kit Siang sepatutnya menjadi ketua pembangkang dan bukannya Anwar. Jika sekiranya pembangkang memenangi pilihanraya umum yang akan datang, Lim Kit Siang sepatutnya menjadi perdana menteri Malaysia dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu wartawan bahawa semua orang layak tidak kira apa bangsa dan agama dalam sistem demokrasi untuk menjadi timbalan perdana menteri Malaysia. Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya di Malaysia dialah yang paling layak berbanding Lim Kit Siang untuk menjadi perdana menteri kerana dia merupakan seorang melayu dan beragama islam. Sebenarnya dengan kepercayan ini, Anwar tidak mengamalkan demokrasi mutlak tetapi sebaliknya mengamalkan demokrasi tidak mutlak seperti di negara India. Perkara yang sama berlaku kepada Sonia Ghandi di India. Walaupun dibawah pemerintahan sistem demokrasi di India dia layak menjadi Perdana Menteri India, tetapi ramai rakyat di negara tersebut tidak boleh terima hakikat tersebut. Sonia tahu dia tidak boleh menjadi perdana menteri India kerana dia tidak diterima oleh kebanyakan rakyat negara tersebut kerana dia bukan kelahiran India sebaliknya sebagai seorang kelahiran Itali. Ini membuktikan bahawa India tidak mengamalkan demokrasi mutlak.
Malaysia juga sebuah negara yang tidak mengamalkan demokrasi mutlak. Adalah tidak menjadi kesalahan untuk tidak mengamalkan demokrasi mutlak. Sistem demokrasi ialah satu sistem yang dicipta oleh manusia. Demokrasi bukan satu sistem yang bersifat universal dan ia terbukti tidak berjalan dengan baik di kebanyakan negara dan ia tidak sesuai untuk semua orang yang memiliki kefahaman yang berbeza-beza. Allah tidak mengutuskan Nabi Muhammad saw untuk menggunakan sistem demokrasi bagi menjalankan pemerintahan setelah Allah memberikan baginda kuasa pemerintahan. Walaupun dalam sistem demokrasi, konsep kesamaan yang menentukan semua orang mempunyai hak yang sama wujud dalam ajaran islam namun dalam sistem demokrasi kaedah dalam menentukan atau memilih pemimpin adalah tidak menurut ajaran islam. Walaupun ia tidak ditulis secara jelas dalam perlembagaan Malaysia, bahawa seseorang yang dilantik menjadi perdana menteri Malaysia mestilah seorang melayu dan beragama islam namun saya berpandangan bahawa orang melayu tidak akan menerima orang bukan melayu dan orang bukan islam untuk dipilih menjadi perdana menteri Malaysia dan begitu juga dengan jawatan timbalan perdana menteri. Sekiranya Lim Kit Siang menjadi walaupun sebagai timbalan perdana menteri, saya berpandangan bahawa negara ini akan bertukar menjadi huru hara. Baru-baru ini, Tuan Guru Datuk Nik Aziz pada mulanya memberi komen terhadap kenyataan Anwar tentang Lim Kit Siang boleh menjadi timbalan perdana menteri Malaysia bahawa dia bersetuju dengan kenyataan Anwar selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. Tetapi tidak lama selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz membuat kenyataan bahawa Lim Kit Siang boleh menjadi timbalan perdana menteri Malaysia jika Lim Kit Siang memeluk agama islam dan menjadi orang islam yang baik. Dalam kata lain, Tuan Guru mengajar Lim Kit Siang untuk memeluk agama islam dengan niat untuk menjadi timbalan perdana menteri Malaysia dan bukan memeluk islam ikhlas kerana Allah. Tuan Guru mengajar Lim Kit Siang memeluk islam dengan niat yang tidak ikhlas kerana Allah. Di Malaysia, kebanyakan orang Cina dan India yang memeluk islam kerana hanya semata-mata ingin berkahwin dengan wanita islam dan bukan niat semata-mata kerana menyukakan Allah.
Walaupun seorang ulama seperti Tuan Guru Datuk Nik Aziz, tetapi bila terlibat dalam politik dia melakukan banyak kesilapan. Walaubagaimanapun, semua kesalahan yang dibuat oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz akan dimaafkan dan tidak diambil peduli oleh ahli-ahli PAS kerana Tuan Guru adalah merupakan Mursyidul Am PAS. Setiap kali Tuan Guru membuat kenyataan yang salah atau tidak senada dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar segera menyelamatkan keadaan dengan mengatakan kenyataan yang diberi oleh Tuan Guru adalah pandangan peribadinya. Sebenarnya, tidak ada pandangan yang diberi oleh seorang ketua bersifat peribadi. Suatu pandangan dikatakan pandangan peribadi jika dibuat oleh seseorang yang tidak memegang apa-apa jawatan atau tanggungjawab sebagai ketua dalam satu pertubuhan. Ahli PAS tidak boleh membantah apa saja kenyataan yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz. Apa sahaja yang dia fikir dan percaya akan mempengaruhi hala tuju PAS.
Parti pembangkang tidak mempunyai persetujuan bersama dalam menentukan siapa yang sepatutnya menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri Malaysia setakat ini jika mereka memenangi pilihanraya umum akan datang. Apabila mereka memenangi pilihanraya umum nanti mereka akan sibuk dengan perselisihan pendapat dalam menentukan siapa yang sepatutnya menjadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri kerana disebabkan kelebihan yang akan diperolehi melalui jawatan tersebut, yang sepatutnya mereka sibuk dalam mentadbir-urus hal ehwal negara. Rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mengamalkan demokrasi mutlak dan berkemungkinan negara menjadi huru-hara atau untuk mengamalkan demokrasi yang tidak mutlak tetapi negara dapat mengekalkan keamanan dan kemajuan negara. Apa yang penting bukanlah sistem apa yang digunakan tetapi yang penting ialah negara dapat mengekalkan keamanan dan negara bergerak menuju menjadi sebuah negara maju. Kita sepatutnya meletakkan kepentingan negara dan kebajikan rakyat diatas daripada meletakkan kepentingan sistem apa yang hendak digunakan. Apabila keadaan negara masih huru hara dan matlamat menjadikan negara maju tidak tercapai walaupun demokrasi tidak mutlak diamalkan, sepatutnya Malaysia perlu mengorak langkah kepada sistem pemerintahan yang lain yang membawa keuntungan kepada negara. Sekiranya, sistem pemerintahan tersebut digunakan dan ia mampu membawa kepada keamanan dan kemajuan negara, Malaysia seharusnya meneruskan sistem tersebut. Dalam keadaan negara kita yang mempunyai pelagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai bahasa, pada pandangan saya sistem pemerintahan yang terbaik ialah sistem pemerintahan yang ditelah diberi oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw. Dalam pemerintahan islam, pemimpin mestilah yang dipilih ialah yang terbaik dari kalangan orang islam dalam sesebuah negara dan pemilihan mestilah dibuat oleh orang yang bertanggungjawab dan orang yang baik dalam negara tersebut. Hanya orang baik siapa sahaja mengenali siapa orang yang terbaik dikalangan mereka. Memilih pemimpin melalui pilihanraya yang mana orang bodoh dan orang buruk juga boleh memberi undi, adalah tidak terdapat ajaran islam dan sememangnyalah banyak kelemahan dalam pemilihan tersebut.
Islam sentiasa menjadi jalan keluar dalam segala masalah yang datang dalam dunia ini tetapi sayangnya tidak ramai orang yang benar-benar faham ajaran islam sebenar dan tidak ramai yang benar-benar mengamalkan islam yang sebenar. Ramai orang islam pandai bercakap tentang islam tetapi sayangnya mereka tidak mengamalkan islam sebagaimana yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad saw semasa hayat baginda. Negara Malaysia mempunyai masalah sepertimana negara-nagara lain mempunyai masalah. Allah hanya akan selesaikan masalah kita apabila kita semua benar-benar mentaati perintah Allah yang ditelah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw.
Dipetik dari tulisan
Dr. Nasoha Saabin
December 2010
Dean of Faculty of Optometry
International University College of Technology Twintech
Kuala Lumpur, Malaysia
No comments:
Post a Comment