Friday, April 17, 2015

Wan azizah calon PRK Permatang Pauh

PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dipilih bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) di kerusi Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei depan. Pengesahan itu dibuat oleh sumber dalaman parti berkenaan kepada FMT mengakhiri spekulasi siapa yang bakal mengisi kekosongan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan liwat. Sebelum ini terdapat desas-desus, ia akan diisi anak keduanya, Nurul Nuha Anwar. Menurut perancangan, PKR akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada 14 April. Dalam pengumuman yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya, 8 April lalu, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memaklumkan tarikh penamaan calon akan dibuat pada 25 April ini. Sekiranya benar maklumat berkenaan, ia bukan perkara baru bagi Wan Azizah kerana pada 1999, beliau pernah bertanding mengisi kekosongan yang ditinggalkan Anwar, selepas beliau dipenjara atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Dalam pilihan raya berkenaan, Wan Azizah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ibrahim Saad dengan majoriti 9077 undi. Selepas lebih dua penggal, beliau kemudian meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, bagi memberi peluang kepada Anwar bertanding semula dalam PRK Permatang Pauh yang diadakan pada 31 Julai 2008.

No comments: