Tuesday, March 31, 2009

Bukit Gantang


Di sebalik rebutan 15 calon di Bukit Selambau, kerusi Bukit Gantang dilihat oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat sebagai gelanggang penting untuk dikuasai pada 7 April ini.

Bagi BN, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang adalah signifikan dan sangat penting untuk dimenangi BN kerana ia merupakan pilihan raya pertama susulan peralihan kuasa dan kepimpinan dalam parti melibatkan bakal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Muhyiddin yang dipilih Timbalan Presiden Umno Khamis lalu berkata, barisan kepimpinan baru Umno akan memberi keyakinan kepada rakyat tentang kesungguhan kerajaan BN untuk membawa perubahan dan pembaharuan seperti yang diharapkan mereka.

“Berikan kita sokongan supaya calon kita menang dan kita akan buktikan dalam tempoh yang tidak berapa lama, kesungguhan kita untuk membawa pembaharuan, yang akan memberi layanan adil dan saksama kepada semua masyarakat, kaum dan kumpulan dalam negara kita,” kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu beliau ketuai rombongan yang mengiringi calon BN, Ismail Saffian semasa sesi penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Dewan Majlis Perbandaran Taiping di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ismail, 49; calon PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris, 42.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pilihan raya kecil Bukit Gantang juga merupakan satu ujian terhadap komitmen kerajaan BN untuk membawa perubahan dan pembaharuan berkenaan.

Beliau juga menaruh harapan agar para pengundi Cina di Bukit Gantang tidak terpedaya dengan pihak pembangkang yang cuba mempengaruhi mereka dengan taktik meraih simpati berhubung peralihan kerajaan negeri Perak baru-baru ini.

BN, katanya, akan menggunakan tempoh berkempen untuk memperjelas kepada pengundi Cina dan masyarakat di kawasan Bukit Gantang bahawa peralihan kuasa kerajaan negeri Perak kepada BN adalah mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

“Saya amat berharap mereka akan memberi peluang kepada kita bagi membuktikan bahawa kita memang bersungguh-sungguh.

“Kita mahu berkhidmat kepada rakyat dan serius untuk membantu semua,” katanya sambil menegaskan, pilihan raya kecil itu bukanlah satu referendum baik untuk pemimpin peringkat negeri Perak mahupun pemimpin peringkat Pusat.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, walaupun Umno dan BN akan menggunakan isu Nizar menderhaka Sultan Perak, tetapi yakin kerusi tersebut dipertahan pembangkang.

“Kami mempunyai peluang untuk menang lagi. Pun begitu, kami hanya mahu meletakkan angka konservatif 50:50 buat masa sekarang dan bergerak dari sana.

“Pihak kami tidak mahu meletakkan paras peluang kemenangan yang tinggi bimbang terlalu selesa nanti (semasa kempen),” katanya lagi.

Kata beliau, pihaknya tidak boleh leka dalam menghadapi pilihan raya kecil itu kerana jentera pilihan raya BN kawasan itu diketuai Muhyiddin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu, PAS katanya akan menumpukan kepada usaha memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai tujuan Nizar dicalonkan untuk bertanding di situ.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menganggap BN mempunyai kelebihan dalam pilihan raya itu kerana mereka mempunyai segala keperluan dan jentera pilihan raya mencukupi.

“Bagaimanapun kami melakukan yang terbaik untuk pakatan PKR, DAP dan PAS dalam pilihan raya kecil kali ini,” kata beliau ditemui pagi tadi di sini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP akan berkempen bersama PAS dan PKR bagi menunjukkan tindakan BN yang disifatkan beliau sebagai rakus untuk mengambil alih kerajaan di Perak.


No comments: