SEKALI lagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE) yang juga Setiausaha Agung DAP, bersikap mencurigakan.
Terbaru, terdapat laporan bahawa LGE mendakwa Johor bukan negeri yang selamat bagi pelabur asing kerana penuh jenayah termasuk kes culik berbanding Pulau Pinang.
Kenyataan tersebut dibuat oleh beliau dalam satu temuramah dengan stesen radio Australia baru-baru ini. Jika benar laporan itu, beliau perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf terutama kepada baginda Sultan, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor.
Pada kami, kenyataan itu bersifat penghinaan malah tohmahan kepada Johor. Kadar jenayah termasuk culik di negeri berkenaan telah menurun sejak beberapa tahun lalu. Sebagai Ketua Menteri dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, LGE sepatutnya tidak memburuk-burukkan negeri lain.
Jika pun beliau ghairah mahu menarik pelaburan asing ke Pulau Pinang, lakukannya dengan cara budiman. Setiap pemimpin negeri tanpa mengira ideologi politik ketika misi pelaburan ke luar negara perlu menjaga imej dan nama baik Malaysia, bukan bertindak sebaliknya.
Itulah juga pegangan etika para pemimpin wilayah atau negeri di negara lain termasuk China, India dan Rusia. Dalam mereka mempromosi pelaburan wilayah atau negeri masing-masing ke luar negara, mereka tidak memburukkan atau melemparkan tohmahan kepada sesama negeri.
Lalu ingatan Awang mengimbas kepada kenyataan Menteri kanan Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) tidak lama dahulu bernada sama ke atas Johor. LKY mendakwa Johor adalah negeri yang tidak selamat kerana banyak berlaku jenayah.
Ketika itu, reaksi rakyat Malaysia bangkit marah dan menyatakan bantahan sehingga mencetuskan kekecohan diplomatik antara kedua-dua negara. LKY kemudian memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.
Persoalannya apakah LGE mengikut pemikiran LKY, seorang pemimpin asing yang kerap mengeluarkan kenyataan menyinggung Malaysia?
Apakah itu juga mencerminkan pendirian DAP untuk berkongsi aspirasi dengan PAP yang diasaskan oleh LKY? Berdasarkan sejarah PAP dan DAP daripada benih perjuangan yang sama iaitu bermula di tanah air ini ketika Singapura belum berpisah daripada Malaysia. Dalam isu jenayah di Johor, kenyataan siapa yang LGE mahu ikut dan percaya - pihak berkuasa di negara sendiri terutama Polis Diraja Malaysia atau LKY dari negara jiran?
Seperti biasa, LGE pasti ada alasannya jika tidak pun penafian. Tetapi Awang seperti juga ramai orang punya firasat yang selalunya tepat dalam menilai siapa sebenarnya pemimpin DAP itu.
No comments:
Post a Comment