Hampir setiap muka surat Buletin Mutiara memaparkan 51 gambar Lim Guan Eng.
Tidak mungkin tersalah cetak. Atau, kesilapan teknikal penerbitan. Tetapi itulah yang berlaku sehinggakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa banyak pihak sebagai 'gila publisiti'.
Ini apabila buletin keluaran kerajaan DAP Pulau Pinang, Buletin Mutiara edisi Mei lepas memuatkan sejumlah 51 gambar Ketua Menteri Pulau Pinang itu. Nampaknya jumlah gambar-gambar itu mengatasi pula muka surat buletin yang sekadar 28 helaian itu.
Nampaknya Guan Eng terpaksa 'menelan' kritikan yang dia lemparkan selama ini terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) yang dituduhnya sebagai 'gila kuasa' dan 'sentiasa mahu publisiti murahan'. Akhirnya, Buletin Mutiara mendedahkan segala-galanya - asyik mempromosi dirinya sendiri dalam buletin kerajaan negeri.
Buletin Mutiara yang diterbitkan setiap bulan dengan cetakan ratusan ribu naskhah oleh kerajaan DAP pulau itu kini menjadi perbualan hangat warga Pulau Pinang kerana hanya memuatkan gambar Guan Eng dalam setiap muka surat.
Sedangkan setiap bahan yang diterbitkan 'kalau boleh' haruslah menggambarkan pembangunan dan kemajuan di Pulau Pinang. Selitkanlah juga berita-berita berkaitan kebajikan penduduk. Namun hanya Guan Eng menjadi 'berita utamanya'.
Tidak salah mempromosi diri sendiri tetapi biarlah 'patut-patut'. Ketika ramai lagi pemimpin dalam pakatan pembangkang di Pulau Pinang itu - dari PKR dan Pas serta lain-lain pemimpin dalam DAP - dikatakan turut 'bekerja keras' untuk pembangunan negeri itu, takkanlah hanya 'seorang sahaja dapat nama'.
Apa pun penyiaran merata gambar-gambar Guan Eng dalam 'buletin' berkenaan bukanlah suatu yang menghairankan. Ini jika dilihat peranan 'buletin' berkenaan dalam menguar-uarkan propaganda DAP Pulau Pinang.
Baru-baru ini, buletin yang sama juga menyiarkan laporan yang disifatkan oleh rakyat Pulau Pinang suatu penipuan besar apabila mendakwa kerajaan DAP itu sudah membina 11,596 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak 2008.
Laporan terbitan 1-15 April lalu itu bukan saja tanpa disokong bukti tetapi turut bercanggah dengan kenyataan Guan Eng selepas itu, yang menurut Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin sebagai menipu rakyat - dengan mendakwa kononnya kerajaan pakatan pembangkang memperjuangkan nasib orang miskin.
"Kenyataan buletin itu bahawa kerajaan pakatan pembangkang sudah membina 11,596 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah menerusi PDC sejak 2008 adalah cubaan mengelirukan rakyat dan gimik menjelang pilihan raya.
"Laporan itu bertentangan dengan kenyataan Guan Eng di Komtar pada 29 April (2012) yang mengakui kerajaan negeri hanya membina 1,194 unit rumah kos rendah dan 2,227 kos sederhana rendah, manakala selebihnya iaitu 2,612 rumah kos rendah dan 5,563 rumah kos sederhana rendah dibina pihak swasta.
"Jadi, kenyataan disiarkan Buletin Mutiara itu adalah penipuan paling hebat dalam sejarah DAP untuk mengelirukan rakyat Pulau Pinang dengan Guan Eng bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.
Dan kalau dibelek-belek sebab kebimbangan kerajaan DAP Pulau Pinang sehinggakan gambar-gambar Guan Eng dimuat penuh dalam Buletin Mutiara, ia bukanlah sesuatu yang pelik.
Antaranya, kerana kebelakangan ini Setiausaha Agung DAP itu dikatakan agak 'cuak' dengan komitmen dan kerja keras BN negeri di bawah kepemimpinan mudanya, Teng Chang Yeow. Pemimpin muda ini giat meredah pelosok negeri bertemu dan menyelesaikan masalah rakyat.
Apabila Chang Yeow berkata "I have a vision for developing Penang" dalam New Straits Times bertarikh 10 Jun 2012, pastinya kenyataan itu menjadi satu ancaman kepada Guan Eng dan para strategis DAP. Maknanya, Chang Yeow telah menawarkan satu lagi tawaran baru kepada rakyat Pulau Pinang sebagai counter offer kepada apa yang ditawarkan oleh kerajaan Guan Eng.
Inilah yang menggusarkan Guan Eng dan pemimpin DAP negeri. Sebagai kerajaan negeri, sepatutnya Guan Eng yang membuat 'tawaran' yang DAP mempunyai wawasan untuk membangunkan Pulau Pinang.
Dan yang lebih 'parah' didengari oleh Guan Eng daripada Chang Yeow ialah apabila Pengerusi BN Pulau Pinang itu menegaskan: "Tidak ada apa pun yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang dalam empat tahun ini. Mereka tidak ada polisi atau blueprint untuk Pulau Pinang."
Dan tidak hairanlah sejak Chang Yeow dilantik memegang kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang, beliau telah 'diserang' dengan strategi 'dicemarkan imej ' oleh pihak tertentu sehinggakan ada mengatakan 'Chang Yeow lebih 'ditakuti' berbanding 'Tsu Koon' (Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas Pengerusi BN dan Ketua Menteri Pulau Pinang.)
Apa pun bukan sahaja 'kegawatan' Guan Eng dirasai di Pulau Pinang. Khabar keretakan hubungan antara Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Prof. Rama bukan lagi rahsia. Ini terutamanya dalam kalangan masyarakat India di Pulau Pinang.
Cuma tidak tahu siapa punya angkara apabila gambar Karpal dikatakan telah dipotong dari papan iklan sambutan 'Kumba Abishegam' di Pulau Pinang baru-baru ini.
Gambar Karpal dipercayai dirosakkan oleh pihak tertentu yang tidak menyenangi kehadiran Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu ke majlis keagamaan tersebut yang turut dihadiri oleh semua pemimpin DAP India yang lain.
Kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama. Tetapi sudah acap kali terjadi. Setiap papan iklan dan poster seringkali dipotong, dituang cat atau di koyakkan andainya imej dua pemimpin itu diletakkan serentak. Pada masa sama, masyarakat India di Pulau Pinang turut dikatakan 'makan hati' dengan Prof. Rama yang didakwa tidak dapat memenuhi janji-janji dengan kaum tersebut.
No comments:
Post a Comment