Friday, April 17, 2015
PAS kutuk DAP gelar Hadi Awang pengkhianat
BANGI, 25 Mac – Pemimpin-pemimpin kanan PAS terus mengutuk DAP kerana menggelar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat, selain seolah-olah cuba mendesak ahli PAS supaya menukar presiden mereka.
Datuk Dr Haron Din
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, berkata perbuatan itu (menggelar pengkhianat) amat melampau sekali gus memberi isyarat hubungan pakatan rakyat bakal berpecah.
“Ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu,” katanya.
Beliau mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.
“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu perbaiki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan berpecah.
“Tidak fahamkah DAP bahawa presiden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan presiden nak berhubung dengan siapa?
“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Kelmarin, DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan PAS bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai pemimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat Jawatankuasa Pusat DAP kerana menganggap Abdul Hadi pengkhianat dalam pakatan pembangkang.
“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,” kata Haron Din.
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula mengingatkan DAP supaya tidak biadab kerana parti berteraskan kaum Cina itu juga memerlukan sokongan PAS bagi mendapat undi orang Melayu dalam usaha mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.
“DAP perlu berhenti menghina Abdul Hadi kerana tindakan yang disifatkan biadab itu hanya akan merugikan mereka sendiri selain boleh memecahbelahkan pakatan pembangkang,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengingatkan DAP dan PKR agar bertindak secara bijaksana dalam menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu hudud demi kepentingan bersama.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pula menyifatkan DAP sebagai pembohong apabila mendakwa tidak diberikan kefahaman secukupnya berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
“Tanggapan tersebut tidak betul kerana sudah beberapa kali penjelasan tentangnya diberikan sebelum ini.
Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
“Saya sendiri sudah tiga kali bersama-sama pimpinan PAS Pusat serta kerajaan negeri berjumpa mereka bagi menjelaskan berkaitan hudud.
“Bermula di pejabat DAP di Cheras, semua pimpinan atasan DAP serta PKR hadir dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kemudian di Pejabat Agung Pas dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru-baru ini. Pimpinan lain seperti Timbalan Menteri Besar Kelantan serta Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan tidak kurang daripada empat kali hadir.
“Bagi saya pimpinan pakatan sudah jelas tentang hudud dan pendirian kita. Pada perjumpaan terakhir di Parlimen baru-baru ini tidak ada pun keputusan dibuat supaya Pas menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) di DUN Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment