AKHIR-AKHIR ini begitu banyak penafian dilakukan apabila pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang didedahkan dengan pelbagai isu peribadi yang boleh menggoncangkan kedudukan sebagai orang penting dalam parti.
Terbaru, skandal dinar emas yang melibatkan kerugian berjuta ringgit tetapi dalam masa sama menjelaskan ‘tidak kenal orang yang disyaki terbabit’.
Sindrom penafian bukanlah satu perkara baru. Ia sudah berakar umbi sejak lama apabila ada pemimpin sanggup mencipta pelbagai teori songsang demi mendapat kuasa walaupun pada hakikatnya “untung seguni" dalam jangka pendek tetapi “rugi sekampung" dalam jangka panjang.
Sewaktu pembangkang memerintah Terengganu dahulu dengan angkuhnya menolak pembesaran lapangan terbang yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu kerana tidak mahu melihat negeri itu menjadi hab penerbangan utama di Pantai Timur. Bagaimanapun setelah Barisan Nasional (BN) kembali memerintah pada 2004, projek itu dilakukan sehingga Terengganu menjadi hab penerbangan jemaah haji bagi Pantai Timur dan mampu menampung keperluan pendaratan bagi pesawat sebesar Airbus.
Ketika Jambatan Pulau Pinang dalam peringkat kelulusan pembinaannya pada awal tahun 1980-an, pembangkang dengan lantangnya mengkritik projek itu membazir dan tidak perlu kerana lebih ramai rakyat memerlukan pelbagai kemudahan.
Tetapi apabila mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, mereka terus menggesa agar Kerajaan Pusat tidak memberhentikan cadangan untuk membina Jambatan Pulau Pinang kedua yang menghubungkan Batu Kawan di bahagian tanah besar dengan Batu Maung di pulau.
Apabila meneliti cerita yang lebih lama kita juga akan menemui bagaimana golongan ini pernah berjanji akan melelong Putrajaya jika mereka menang dalam pilihan raya, tetapi kini mereka begitu yakin akan menang dan merampas Putrajaya.
Tiada lagi kedengaran akan dilelong semua projek yang pernah dianggap membazir dan mega pada suatu ketika dahulu, sebaliknya sedang mencongakkan keuntungan, bila menang aset manakah yang bakal meraih keuntungan dan siapakah pula yang akan memilikinya.
Pemimpin pakatan pembangkang sentiasa menaburkan janji, jika menang akan diberikan pelbagai kemudahan, tetapi sampai sekarang belum pun ada projek yang mereka laksanakan memberikan faedah kepada rakyat setelah hampir sepenggal memerintah Pulau Pinang, Kedah dan Selangor serta lebih 22 tahun di Kelantan.
Apabila rakyat mempersoalkan janji yang dibentuk ketika kempen pilihan raya, mereka memberikan alasan bahawa tetap akan dilaksanakan jika merampas Putrajaya.
Selain hanya tahu berjanji dan menafikan kesalahan sebagai helah menutup kelemahan, parti pembangkang jugalah merupakan pengguna atau penerima faedah daripada penolakan yang pernah dilakukan di peringkat permulaan.
Ketika kerajaan Pusat bercadang untuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 setiap keluarga yang miskin, parti pembangkang membuat tafsiran ia adalah sogokan politik kerana terdesak untuk menang pilihan raya.
Disebabkan ramai rakyat mula merasakan faedahnya pemberian tersebut, parti pembangkang mula mengaitkan pemberian itu sebenarnya cadangan mereka sebagaimana dijanjikan dalam Buku Jingga. Dalam masa sama, apabila merasakan ada peluang untuk meraih sokongan golongan muda, pakatan pembangkang turut mengeluarkan hasrat akan menghapuskan dana pinjaman pelajar kerana kaedah itu tidak boleh dipertahankan dan membebankan pelajar.
Atas rasa ingin menguji sejauhmanakah mereka mampu melaksanakan pendidikan percuma, sebuah institut pengajian tinggi swasta yang dikawal oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran parti tersebut ditangguhkan sementara waktu untuk pembiayaan pelajar baru.
Akibat penangguhan itu, kerajaan Selangor bercadang mencairkan aset, yakni menjual tanah dan hasil jualannya sebanyak RM30 juta akan dijadikan asas dana pendidikan percuma.
Sebahagian rakyat Malaysia mula memikirkan apakah jumlah tersebut mencukupi dan mampu menampung pembiayaan dalam tempoh lama?
Jika sudah kehabisan, berapa banyak lagikah tanah kerajaan akan dijual? Dalam masa sama, mereka pantang melihat adanya tanah kerajaan yang kosong, akan dicadangkan pelbagai projek komersial termasuk mengambil semula tanah yang diperuntukkan untuk kemudahan rekreasi dan digazetkan sebagai kawasan hijau.
Demikian juga dengan parti sinonim dengan berasaskan Islam turut tidak mementingkan kesejahteraan rakyat untuk memperoleh pendidikan agama dengan lebih baik. Ketika berkuasa di Terengganu, tiada sebuah sekolah agama pun dibina dalam tempoh empat tahun manakala setelah merasakan kedudukan politiknya terancam turut sama dengan sekutunya untuk menentang pula pembinaan sekolah agama rakyat di Perak atas alasan mengurangkan tanah yang diperuntukkan untuk rekreasi.
Mengenai projek pemprosesan bahan nadir di Gebeng, Kuantan mereka sanggup berbohong kepada rakyat kononnya projek itu akan membahayakan penduduk sekitar dengan kemungkinan kebocoran radioaktif. Projek itu bukanlah projek yang boleh disamakan dengan radiasi yang berlaku di Fukushima, Jepun dan projek Lynas telah diakui mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Mereka tidak mempedulikan pandangan pakar, mereka mencari sudut tertentu yang boleh dieksploitasi sehingga membentuk teori songsang yang boleh mengelirukan masyarakat.
Allah SWT mengingatkan umat Islam untuk berwaspada dan berhati-hati menanggapi sesebuah isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi. Allah berfirman yang maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (al Hujurat: 6).
Ayat di atas dengan tegas memperingatkan umat Islam agar tidak mudah termakan oleh sesuatu isu atau berita yang tidak tentu kebenarannya. Umat Islam digesa untuk menyelidik dan memastikan isu-isu dan berita yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi isu dan berita itu disebarkan pembangkang yang mempunyai agenda politik tertentu bagi menjatuhkan maruah dan kewibawaan kerajaan.
Suatu ketika dahulu mereka menentang Kerajaan Pusat ‘menjual negara dan kelebihan alam semula jadi dengan flora dan fauna’ kepada negara luar bagi menjana pendapatan menerusi pelancongan’, kini merekalah sebenarnya menerima faedah besar daripada kempen itu. Kelantan misalnya, pada masa kini amat mengharapkan kehadiran pelancong, kerana ia akan membolehkan sektor perniagaan, peruncitan, perhotelan dan pengangkutan berkembang sehingga menyebabkan Kota Bahru begitu sendat dengan kenderaan pada musim cuti sekolah.
Bagaimanapun dalam menikmati faedah daripada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat, parti pembangkang tidak pernah membuat penilaian objektif, kesenangan dan kesejahteraan hidup pemimpin-pemimpin mereka adalah kerana dasar pragmatik, dan bukannya sekadar tahu berjanji. Baru-baru ini, terasa ada sedikit kejanggalan pendapat salah seorang pemimpin pembangkang dengan angkuhnya mendabik dada dengan menulis pembangkang yang menyumbang kepada perubahan dan pembaharuan.
Dari segi teorinya, sumbangan pembangkang perlu dalam sistem politik demokrasi sebagai check and balance. Pembangkang boleh menjadi penegur atau ombudsmen sebagaimana pernah dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri, dan dalam masa sama, siapakah pula yang akan menjadi ‘pengawas’ bagi menegur pembangkang.
Walau apa pun istilahnya, peranan pembangkang di Malaysia tidak lebih daripada tukang tolak dan tukang pukul yang tidak pernah menunjukkan sikap kerjasama untuk kepentingan rakyat. Apabila terdesak, pakatan pembangkang memasang lukah dan kemudiannya, lukah itu juga yang mereka gunakan untuk menafikan musuh politiknya sebagai tidak ikhlas.
Masyarakat mungkin tidak boleh melupakan bagaimana apabila UMNO sedia melaksanakan perintah Allah dengan siapsiaga bermuzakarah atas prinsip memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam, salah seorang pemimpin pembangkang menunjukkan sikap berdolak-dalik. Akhirnya niat yang baik itu hanya tinggal sekadar niat yang tidak ikhlas, manakala bila ada orang lain memberikan pendapat atas keputusan tersebut, pemberi pendapat itu kemudiannya disalahkan sebagai ‘orang tua gatal mulut’.
Semakin ghairah membina teori politik songsang, maka selagi itulah pakatan pembangkang akan terus bermain dengan kata-kata kesat sebagai kaedah penafian atau sindrom paku berkarat. Paku berkarat kalau masih boleh digunakan untuk mengikat kayu, ikatan itu tidak akan kukuh, ia akan tercabut dan menimpa orang lain. Rakyat akan terus menjadi mangsa, jika terpijak parutnya sukar untuk disembuhkan manakala sakitnya mengambil masa lama untuk pulih.
Kita mungkin boleh belajar, bagaimana Arab Spring yang lahir dalam semangat menentang pemerintah akhirnya terjerat dengan kepentingan pengaruh asing, terutamanya dalam menjayakan hasrat Israel dan Amerika Syarikat untuk memperkuatkan dasar imperialismenya ke atas negara Islam yang mempunyai sumber minyak yang besar. Biarpun sudah berlalu lebih setahun, Mesir belum pulih; saban minggu dan bulan kedengaran ada rusuhan serta kematian.
Bukankah ini bermakna, meruntuhkan apa yang sudah kita bina berdekad lamanya adalah lebih mudah berbanding membina semula keamanan dan kestabilan politik yang telah runtuh itu?
No comments:
Post a Comment