Wednesday, May 14, 2014
PRK Bukit Gelugor Pilihan Raya Paling Bosan
GEORGE TOWN – Kempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor mungkin merupakan yang paling membosankan selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 berikutan ketiadaan Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan empat penjuru itu.
Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor ini kurang mengujakan.
“Ini (pilihan raya kecil Bukit Gelugor) mungkin merupakan pilihan raya paling membosankan selepas berlangsungnya pilihan raya umum memandangkan kita tidak nampak sebarang pertarungan antara dua parti politik utama.
“Tanpa BN selaku parti yang dikenali umum, kita tidak melihat kempen yang sengit dari segi jentera dan sumber manusia berbanding calon bebas,” katanya pada Rabu.
Dr Sivamurugan berkata senario pilihan raya kecil Bukit Gelugor hampir sama dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei, 2009 apabila BN tidak bertanding.
Pilihan raya kecil Bukit Gelugor akan diadakan pada 25 Mei ini berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP berikutan kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Kampar, Perak, pada 17 April.
Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas Pengerusi DAP, memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi, mengalahkan calon B NTeh Beng Yeam, yang meraih 13,597 undi.
Ditanya sama ada DAP akan memperoleh undi simpati, Dr Sivamurugan berkata undi simpati mungkin diberi kepada calon DAP, Ramkarpal Singh, yang juga anak lelaki ketiga mendiang Karpal Singh.
“Sudah tentulah ada undi simpati sebagai tanda menghormati sumbangan mendiang Karpal Singh. Oleh itu, calon terbabit mesti membuktikan pencalonannya bukan berdasarkan nepotisme, sebaliknya bersandarkan kepada kewibawaan dan keupayaannya sendiri untuk mengekalkan majoriti,” katanya.
Dr Sivamurugan berkata di atas kertas, DAP akan memenangi kerusi Parlimen itu dengan mudah kerana sebahagian besarnya disebabkan sentimen parti dan bukannya isu memandangkan Bukit Gelugor adalah kawasan bandar.
“Pilihan raya kecil ini tidak akan terlalu banyak memberi tumpuan kepada isu pembangunan di Bukit Gelugor kerana kawasan ini sudah dimajukan dan dihuni penduduk dari kelas pertengahan hingga atasan.
“Pengundi boleh memohon bagi kesinambungan pembangunan, yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini,” katanya, dan menambah pembangunan di Pulau Pinang dilaksanakan oleh kerajaan BN manakala kerajaaan negeri pimpinan DAP sekarang mengekalkannya. – Mstar Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment